ads

Monday, March 5, 2012

Travelogue Umrah: Lights, Camera, Inspiration: Hidayah




“Pergilah wahai tetamu Allah,
Pergilah menuju ke hadrat Ilahi mu,
Pergilah membawa hatimu yang pasrah,
Pergilah melampias niatmu yang kudus ikhlas,
Penuh kerelaan tanpa gundah dan gelabah,
Tiada lain yang kau cari kecuali keredhaanNya jua.
Namun jalan cinta itu penuh berliku,
Kan bertandang ujian beribu satu,
Merintangi diri menghalangi hati,
Kerana setiap kembara pasti diuji,
Adakah palsu atau sejati.
Pakaikan ihram salutkan di tubuh,
Serahkan jiwa dan raga seluruh,
Pangkat, darjat, bintang dan gelaran diluruh,
Kini kita hanya hamba kerdil yang benar-benar hina di hadapanNya.
Sucikan diri memohon keampunan,
Ambil iktibar sepenuh keinsafan,
Nikmat beribadah cuba bayangkan,
Mabrur dan diterima itulah pengharapan...”
 
~ Petikan bait-bait puisi di dalam VCD Jejak-Jejak Suci Tetamu Allah
http://www.motivasihaji.com/

Syukur Alhamdulilah, dalam bulan Mac ini, 3 orang adik-beradik saya akan mengerjakan Umrah. Abang saya berangkat pada 5 Mac dan dijangka pulang pada 19 Mac ini. Adik saya John, pula akan menunaikan Umrah bersama isteri dan anak sulungnya pada 18 Mac. Saya dan isteri pula, Insak Allah akan berangkat ke Tanah Suci pada 27 Mac ini. Kami dan rombongan terus ke Mekah dahulu dan kemudian ke Madinah seminggu kemudiannya. Adik bongsu saya telah lama menunaikan Umrah begitu juga dengan adik perempuan saya. Mereka berkata cukup seronok dan sempurna sepanjang berada di sana dan ini membuatkan saya sangat teruja. Doakanlah...

Manakala adik saya yang satu lagi berangkat ke Tanah Suci sekitar hujang bulan ini. Haji Naj bersama isteri dan anak-anaknya berserta emak mentuanya akan melancong ke Mesir dan Jordan dahulu menggunakan khidmat agensi Anduliasia. Mereka ini sudah mengerjakan Umrah serta haji dan berhasrat membawa orang tua melancong dan membesarkan hati mereka...

Umrah bererti mengunjungi Baitullah Al-Haram (Kaabah) dengan mengerjakan Tawaf, Saie dan Bergunting. Umrah boleh dikerjakan pada bila-bila masa di sepanjang tahun, berbeza dengan Haji yang hanya sah dikerjakan dalam Bulan-bulan Haji sahaja.
Rasulullah saw mengerjakan Umrah sebanyak 4 kali dalam hidup Baginda iaitu Umrah Hudaibiah (tetapi tidak dapat disempurnakan kerana Quraisy menghalang Baginda saw dan para Sahabat yang seramai 1500 orang dari memasuki Mekah), Umrah Qada’ (umrah yang menggantikan Umrah Hudaibiyah), Umrah Jakranah (selepas menang Perang Hunain) dan Umrah ketika Baginda saw mengerjakan Haji.

 

Umrah wajib dikerjakan oleh setiap lelaki dan wanita Islam yang baligh, berakal dan mampu, bermakna hukumnya sama seperti Haji megikut Mazhab Syafie. Ini berdalilkan firman Allah swt, “Dan sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah”. Mazhab Hanafi mengatakan bahawa hukum Umrah adalah sunnat muakkad.

Ibadah haji atau umrah seperti jihad, pengorbanan, penyerahan mutlak, peluang menuju redha Allah, menginsafi keagungan, kasih sayang dan rahmat Allah, dan sebagainya.
Pelbagai kisah-kisah aneh, pelik serta ganjil yang berlaku di tanah suci Makkah dan Madinah ketika dalam musim haji atau umrah. Ada kejadian yang ditimpakan oleh Allah SWT sebagai kifarah dosa yang telah dilakukan. Ada juga kejadian yang bertujuan menguji kekuatan iman dan taqwa seseorang hamba sebelum Allah kurniakan sebarang keampunan atau tingkatan martabat dan darjat di sisiNya. Ada juga peristiwa aneh yang terjadi lantaran keceluparan dan kemeluluan tutur kata atau tingkah laku jemaah haji/umrah itu sendiri. Paparan kisah-kisah ini diharap dapat dijadikan renungan dan iktibar kepada para bakal jemaah haji/umrah.

Berdoa sahaja tidak memadai sekiranya tidak disertakan dengan usaha dan tindakan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Persediaan ilmu, minda, fizikal dan mental menjelang dan ketika sedang melaksanakan ibadah umrah amat dituntut.


Kayu Koka mencecah harga tinggi dan menjadi kemestian
untuk dibeli bagi pencinta sebagai kenang-kenangan.

Sesungguhnya saya harus sedar, pekerjaan umrah itu penuh dengan syariat dan peraturan serta hikmah dan pantang-larang yang wajib diketahui semasak-masaknya sebelum melangkahkan kaki bagi merealisasikannya. Ia tidak boleh diterjah dan diterpa sesuka hati dan ia juga bukan suatu program trial and error yang boleh diulang atau dikerjakan semula dengan sewenang-wenangnya. Ia memerlukan perancangan yang berkala dan komprehensif, sistematik dan spesifik, bukannya program secara ad hoc atau tangkap muat sahaja. Ia perlu dihayati, difahami dan diinsafi semasak-masak dan selumat-lumatnya sebelum dikerjakan kerana risikonya amat tinggi dan merbahaya. Balasan dan ganjarannya teramat besar sama ada Allah redha atau murka yang akan menjurus kepada anugerah atau laknat yang menjerumuskan kita ke dalam syurga atau neraka.

Mengingatkan diri, umrah yang berkualiti dan mabrur serta diterima di sisi Allah SWT juga memerlukan penggarapan yang penuh dengan penghayatan, keinsafan, kerendahan diri, ketulusan hati, keikhlasan budi, kemurnian pekerti serta kepasrahan dan keistiqamahan iktikad, niat, hasrat, keazaman dan keiltizaman yang sejati serta suci murni. Segala nafsu dan sifat-sifat mazmumah (terkeji dan tercela) yang bersarang dalam diri perlulah dikikis serta dihapuskan keseluruhannya terlebih dahulu sebelum kaki melangkah untuk menjadi tetamu Allah dalam sesuatu musim haji atau program umrah. Segala sifat-sifat seperti pemarah, tidak sabar, tergopoh gapah, bongkak, sombong, ujub, waham, sum’ah, dengki, khianat, suka mengadu domba, celupar dan seumpamanya wajib dilunakkan keliaran dan keserakahannya semaksimum yang termampu.

Syukur, dengan rahmat dan kasih sayang Illahi, kami diberiNya peluang serta rezeki untuk menunaikan Umrah pada tahun ini... Doakan kami mendapatkan Umrah yang berkualiti dan pulang ke tanah air dengan selamatnya. Amin

2 comments:

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Assamualaikum Mus
Alhamdulillah dapat sudah jemputan dpd Allah s.w.t. utk saudara & isteri.
Kerana kalau tidak dgn izinNya tidak mungkin kita akan dapat ke sana……
Saya mendoakan agar saudara/isteri mendapat umrah yg mabrur
Dipermudahkan segala urusan di sana
Berdoalah sebanyak mungkin dan lakukan dengan penuh keiklasan
LURUSKAN NIAT KITA PERGI KERANA ALLAH S.W.T

Doakan saya sekeluarga agar dapat menjadi tetamuNya lagi di masa akan datang
 
Jamie

Tengku Faizal said...

assalammualaikum..
kalau saya mau beli tasbih kayu koka, gimana caranya??
bisa minta pin BB, email atau no yang dapat dihubungi!!!
terimakasih