ads

Friday, February 19, 2010

"Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya, berapa lama?" - Jabar




Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Namun yang sering tak terucapkan adalah persoalan "berapa lama?". Sebab, empat puluh tahun nampaknya belum cukup untuk mengubat luka akibat kenangan silam yang tercalar dapat disembuhkan.

Setelah menamatkan persekolahan peringkat rendahnya di Kuala Tekal, Abdul Jabar bersekolah Menengah di Kuala Krau selama 6 bulan dalam tahun 1975. Kemudian Jabar ditukarkan ke Sekolah Menengah di Temerloh dan selepas itu ditukarkan ke Sekolah Menengah di Mentakab pula hingga ke tingkatan dua. Akibat perceraian, kehidupannya adik-beradiknya seramai tujuh orang itu semakin kucar-kacir dan bercelaru.

Jabar dipelihara oleh bapak saudaranya yang mempunyai empat anak yang tinggal di quaters Klinik di Mentakab, Pahang. Kerana kesempitan hidup, ekonomi mereka sering senak ini membuat Jabar menilai kembali keadaannya dan mengambil keputusan mencari ayahnya yang telah berkahwin lagi dan menginap di Kuantan sekitar tahun 1977. Jabar memulakan penghidupan barunya di bandar besar itu.

Percikkan kenangannya yang masih diingati, Jabar tinggal di Tanjung Api sebelum bapanya berpindah ke Tanjung Lumpur, perkampungan nelayan di Kuantan itu dengan tambang tiga puluh sen menaiki bot dari bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur memakan masa lebih kurang dua puluh minit. Jabar tinggal agak lama di sini. Seronok tinggal di Tanjung Lumpur, banyak nostalgia katanya. Selalunya pada bulan Jun diadakan Pesta Main Pantai. Ramai orang turun, terutamanya dari Terangganu, padatlah pantai Tanjung Lumpur dengan kerenah pengunjung. Ada wayang kulit dan berenika jenis makanan terang Jabar lagi.

Kita tidak mengetahui, sebab sejarah tidak ditulis dengan kata "seandainya", terang Jabar. Semua sudah suratan dan tidak mampu diginjak-ginjak lagi, seandainya boleh, Jabar tidak mahu kisah hidupnya sebegini perit berlaku ke atas dirinya. Hidup bukanlah seperti di dalam sebuah poskad semuanya indah dipandang, Jabar bermadah.

Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi kita terlupa bertanya: berapa lama?

Namun bukan bererti tak ada hikmah di sebalik waktu dan tragedi kemanusiaan. Seperti kata pepatah Inggeris. "Setiap gumpalan mega memiliki tepian peraknya," terbukti setelah dewasa rentetan sejarah ini banyak jadi pengajaran. Seorang pekerja tukang yang tidak baik menyalahkan peralatannya, Jabar memberi kata hikmah. Jabar ingin membina hidup harmoni bersama keluarga suatu hari nanti, ingin lari dari episod duka itu, tapi bagaimana...?

"Saya, terutama curiga, terutama tak percaya, kepada dimensi watak bapaku..." terang Jabar lagi. Teringat semasa anak sulung perempuan dengan isterinya ini sakit, ayahnya tetap bertugas di sebuah Bank sebagai Pegawai Keselamatan. Dan semasa anaknya meninggal dunia dia meneruskan tugas dan pulang semasa mengembumikan anaknya saja dan menyambung kerjanya kembali. Ketika pergi ke kuburan ayahnya berjalan mendahului jenazah dan di kuburan ayahnya duduk bersahaja jauh dari jemaah, bertahlil dan berdoa. Riak wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi sama ada sedih atau berduka. Keadaan biasa saja. Semacam tiada perasaan apa-apa kata Jabar lagi.... Memang yang kita nampak secara batiniah, dia hanya berserah kepada Illahi, bertawakal saja seadanya, semua milikNya...



Sikap dan perangai ayahnya masih menyita diri Jabar sampai kini. Ayahnya adalah lepasan Sekolah Agama di Pekan, Pahang dan menjadi polis semasa darurat dahulu. Mempunyai semangat waja dan tidak mudah menyerah kalah tambah Jabar lagi. Sewaktu ibu diceraikan, ayahnya hanya menghemburkan kata-kata, kalau sudah diludah masakan dijilat kembali.

Jabar sentiasa berpura-pura bila ibu tiri, orang Terangganu berada di sisi bapaknya. Jabar tidak pernah memanggil bapaknya dengan perkatan 'ayah'. "Itu kelebihanku, aku sentiasa ingat..., aku berlakon sepanjang masa.." cerita Jabar lagi. Lakonannya cukup menjadi. Hampir empat tahun rahsia ini disembunyikan dari pengetahuan ibu tirinya. Teringat semasa mula-mula sampai ke Kuantan, Jabar mencari di mana bapaknya berkerja. Mereka bertemu dan bagaimana untuk menangani masalah sebegini kerana si bapak yang baru kahwin itu telah memberitahu isteri yang dia masih bujang solo. Dan Jabar diberi peranan sebagai anak saudaranya yang baru sampai dari Temerloh, ingin menumpang di rumahnya untuk terus belajar ke sekolah menengah. Maka Jabar bolehlah tinggal di rumah itu buat sementara waktu. Dan si ayah tidak menunjukkan sebarang reaksi akan hakikat sebenarnya, mereka sentiasa berlakon... Berjalanlah episod ini untuk jangka masa yang agak lama.

Dalam usia lima belas tahun ketika itu, masalah peribadi mudah tengelam timbul. Jabar bersama Alias yang hampir seusianya, iaitu adik kepada ibu tirinya menjadi kawan sejati. "Kita pergi Pesta Main Pantai malam ni, ramai mek-mek come lote keluar..." ingat Jabar akan telatah Alias dalam loghat Terangganunya. Alias sajalah teman di masa gundah-gulana, terang Jabar lagi. Di masa-masa lain mereka menaiki motor endoro mengitari pantai Telok Chempedak dan pantai Tanjung Lumpur dan terkadang mengikut nelayan menaiki bot ke tengah laut mencari ikan.



Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi pengorbanan tak pernah boleh disia-siakan.

Hidup tidak selamanya payah... Roslina yang tinggi sedang-sedang, berambut keriting kecil berwarna hitam pekat, berkulit kuning langsat cukup mengugah perasaan Jabar. Kuasa jelingan mata Roslina seakan terbang jantung Jabar, menceritakan kisah cinta monyetnya dengan seorang pelajar comel tingkatan lima di sekolahnya. "Ini cinta suci..." terang Jabar lagi. Ketika itu Jabar di tingkatan empat tidak ramai kenalan dan masih kera sumbang... Cara melepaskan sebak kehidupan, Jabar berhubung hati dengan Roslina. Roslina menerima seadanya dan sangat seronok dengan persahabatan itu. Jabar mula menyedari kehidupan tak semuanya kelam kelabu, di lorong-lorong sunyi rupanya ada warna-warni keindahan. Roslina cukup pandai mengambil hati dan memberi semangat kepadanya. Berbekalkan nasihat dan perangsang inilah Jabar menjadi tabah dan yakin akan kehidupannya.

Walaupun ibu tirinya tidak mengetahui akan identiti diri Jabar yang sebenarnya bahwa Jabar adalah anak sulung daripada suaminya tetapi keadaan sentiasa merubah. Akibat penghidupan yang rumit, keadaan menjadi tambah bercelaru. "Anak saudara suaminya, siapalah sayang", keluh Jabar lagi bila mengenang kembali kisah ibu tirinya. Acap kali balik dari sekolah ibu tirinya tidak menyediakan makanan. Jabar harus membuat keputusan, harus pindah...

Langit terik, sekitar Januari, tahun 1978, Jabar mengharungi hidup yang serba sukar untuk meneruskan persekolahannya di tingkatan lima. Suatu malam yang panas di bulan itu Jabar terkejut dari tidur dan membuka tingkap... aku mesti membuat keputusan, tekadnya.
Dia ingin cepat-cepat menghabiskan SPM dan mendapat pekerjaan terangnya. Keadaan gawat keluarga ketika itu memaksa Jabar belajar bersungguh-sungguh.

Waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi tak boleh lupakan bahawa kesihatan (apa pun) adalah sesuatu yang harus terus-menerus dipelihara.

Akibat tidak selesa tinggal di rumah ibu tirinya, Jabar yang sentiasa menyembunyikan identiti sebenarnya berpindah ke rumah Mak Saudara yang menetap di Kem Tentera Batu 9, Kuantan. Tinggallah Jabar di sana selama hampir enam bulan. "Hati emak saudara kena selalu dijaga dan dibelai begitu juga dengan anak-anaknya..., kita menumpang", ingat Jabar lagi. Kerana banyak kesukaran yang terpaksa ditempohi semasa bersekolah akhirnya enam bulan sebelum peperiksaan SPM gurunya memberi kemudahan kepadanya. Jabar disuruh tinggal di asrama sekolah itu. Maka berakhirlah episod duka-lara... kini Jabar berjalan dengan siul yang aman...

Benarkah waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi empat puluh tahun terhakiskah...?

Masa lalu adalah target yang dilintasi, masa depan adalah target yang belum dicapai. "Apa yang harus dibuat selanjutnya..., sudah berjayakah aku dalam kehidupan...? Jabar menghitung-hitung hari-hari berlalu. Aku ingin berjaya dalam hidup tegas Jabar lagi. Selepas SPM aku harus ke Kuala Lumpur...

Filem Renungan Ajal



Di hujung sakit ayahnya... Perangainya lunak dan menghadkan perjalan jauh. "Biarlah aku mati di rumah", katanya bila anak-anaknya menjemputnya ke Kuala Lumpur untuk berihat. Malah ayahnya mengetahui bahwa ia akan mati pada hari ahad terang anaknya. Jadi setiap hari ahad dia sentiasa berjaga-jaga, tidak ke tempat-tempat yang jauh, dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang banyak. Itulah kelebihan bapaknya yang luar biasa dikurniakan Tuhan, dapat mengetahui saat akhir ajalnya.
Kini di usia 40an, Jabar succes dalam hidup. Jabar anak sulung dari tujuh adik-beradik itu masih mengingati kenangan silam, pahit getir kehidupan walau kata orang waktu boleh menghakiskan kenangan. Sungguhpun Roslina tidak diketemui dan putus hubungan tetapi roh nasihatnya masih segar. Walaupun semua gambar-gambar indah bersamanya semasa persekolahan dulu sudah dibakar hangus untuk cuba menghapuskan kenangan tetapi rupanya kenangan sukar dipadam... Ia masih segar umpama embun pagi kata Jabar lagi. Silapnya, coretan nasihat Rosliana masih tersimpan kemas, tidak sampai hati untuk membakarnya cerita Jabar lagi.

Waktu tetap waktu tetapi kenangan tetap kenangan, tetap mengasyik dan menyakitkan... walau kita tahu, ingatan tak selamanya panjang.

Memang waktu, kata orang, menyembuhkan segalanya. Tapi jangka hayat kita tidaklah cukup... sebenarnya!


Diriwayatkan oleh: kajangboy62@hotmail.com

2 comments:

Ashullies@Rosli Mohamed said...

lain pula cerita dgn kawan saya ni.Mr MJ namanya.Satu sifatnya yang ketara ialah suka menyimpan koleksi gambar sexy mexy.Perempuan tak berbaju aka berbogel. Katanya itu adalah seni.Tu tak salah.Seni tubuh harus dihargai.Begitu le pulak. Nampaknya kena tanya pandangan ustaz tentang hukum tersebut.Lagi satu bila duduk di cafe matanya akan meleret tajam memandang awek2 yg lalu.Kawan yang sedang bercakap dengannya terus tidak dilayan.Bercakap sorang2 le kawannya..hahhaaha...jangan mare!!

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Saya mempunyai seorang kawan semasa berkerja di publishing dulu. Kami bertiga tinggal di rumah sewa. Si kawan ini, Jamal namanya agak gnjil - bila nak tidur malam dia sudah mempersiapkan towel mini 'evening' untuk menutup mata dan kedua belah telinganya. Dia amat sebsitif dengan bunyi-bunyian dan menggangu tidur lenanya. Dia langsung tidak boleh tidur jika orang bercakap-cakap hatta bunyi jarum jam dinding sekalipun. Cara terbaiknya dia menggunakan mini tower untuk menutup telingganya dan bolehlah dia tidur lena. Ini juga satu 'gila'?