ads

Sunday, November 29, 2009

Iran - Di sebalik wanita berchador hitam



YB Ramlan dari
Malaysia dihantar ke Iran untuk mewakili
Internasional
Festival & Fairs of Press and News Agency ke 16.
Beliau seronok kerana sering dipelawa diambil gambar bersama
gadis-gadis cun Iran. Orang Malaysia baik-baik belaka berbanding orang Eropah kata
gadis-gadis itu kepada YB Ramlan. "Aku nak bawak sorang balik Malaysia... boleh?
Messi, kata Ramlan menggunakan bahasa Farsi bermakna terima kasih... tapi sistem Intenet yang teruk merencatkan hala-tuju hubungan dengan gadis-gadis itu. Bayangkanlah nak mengases masej, jpg @ etc... memakan masa berjam-jam... boardband tak lepas semua kena blok oleh penguasa... keluh YB Ramlan dan penganjur Festival...


Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.

Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran atau Parsi. Mereka semua beragama Islam  aliran Syiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni.

Ahmadinejad mewakili golongan bawahan  kaum tani di kampung-kampung dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini dimanifestasikan melalui organisasi Basij.

Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau soldadu Penjaga Revolusi. Ia adalah pasukan tentera yang muncul di zaman Ayatolah Khomeini untuk memantapkan revolusi.

Hakikatnya dasar Ahamadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin men-tua-kan naluri muda mereka. Di tahap sejarah pada Jun 2009 ini, anak-anak muda ini sedang berpayung bawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan olehnya.

Untuk sementara waktu, Ahmadinejad adalah presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat bawah Barack Obama  untuk kepentingan berjangka panjang  tidak akan menggugat Iran.

Apa sebenarnya terjadi di Iran?

Hishamuddin Rais | 25 Jun, 09 2:01pm

.............................................


Maintaining Stability Iranian Style
......................................

Aqil Fithri, adalah aktivis media alternatif, merangkap editor ummahonline.com, sebuah majalah internet yang menganjurkan wacana jamak perspektif. Beliau boleh dihubungi menerusiaqil@ummahonline.com. Artikal berkenaan perjalanannya di Iran dilampirkan untuk tatapan....

Setelah empat tahun bergumul dengan ujikaji ¨pokok gelam,¨ akhirnya teman semakmal telah pulang ke republiknya dengan ijazah kedoktoran. Terpancar riak kepuasan dalam wajah pekat Farsinya. Kali ini, sudah tentu mereka seisi keluarga bakal menyambut Nouruz dengan penuh ria, berhias tanah kandungnya, dan tanpa lagi duka kerinduan. Kami bertukar hadiah. Sebagai tanda kenang-kenangan, saya hadiahkan kain songket Terengganu.

Sebenarnya, mereka ternyata senang sekali di sini. Rakyat Malaysia, bagi mereka, sangat beruntung. Di sini, bukannya seperti Iran, yang memerlukan pakaian yang berbeza setiap kali berdaur musim. Selama empat tahun juga, anak-anak kecilnya sudah mula berbicara dalam Bahasa Melayu. Kelak barangkali, bila dimamah ruang, tentu kepetahan lidah Martha dan Pouya akan surut. Yang tinggal mungkin hanya perkataan, ¨makan¨ atau “pakcik” saja. Nanti, ruang akan menguji mereka, betapa tebalnya Farsi mereka–setebal nama-namanya, yang jelas mengusung identiti asli Shiraz mereka, jantungnya bumi Cyrus itu.
Saya dikira agak bertuah. Darinya, saya maklum beberapa hal tersorok tentang republik ini.

Selain itu, menerusi buku-buku cadangannya, saya diceritakan yang negara tersebut cukuplah meriah, serta penuh dengan alunan tradisi, bagaikan cerita-cerita kayangan dari sang fereshteh (malaikat). Tapi, haktula (stereotype) setiap cerita tentu ada kesah indah berbaur suram. Cerita tentang Republik Islam Iran juga sama sekali tak terpisah dengan haktula tersebut. Ketika Terence Ward dan keluarganya mencari kembali Hassan, Fatimeh, dan anak-anaknya, maka segala denyut yang dirasainya tentang republik ini diluahkan dengan anggun sekali dalam Searching for Hassan: A Journey to the Heart of Iran.


Bagi saya, catatan kembara ini betul-betul mengesankan, dan juga mengesahkan terhadap segala maklumat-hidup yang diterima sebelum ini. Memang benar, kisah yang indah memang mudah saja berbaur dengan yang suram. Sampai-sampai saja, natijah dari lembar-lembar terakhir buku ini telah mendorong saya merumuskan, ¨…adalah tak mungkin hampir seluruh Farsi menjadi muslim, sekiranya Ahuramazda, Ahriman, tidak ditandingi oleh sosok-sosok dalam Islam. Bahkan, takkan mungkin Avesta disisihkan mereka, jika tanpa adanya al-Qur´an dan Nahjul Balaghah.¨



Gadis comel Iran bergaya bersama bendera negaranya.


Iran, saya kian pasti, adalah sebuah negara yang sangat rumit. Meskipun budaya-bangsanya persis seragam, tapi etniknya sangat berbilang. Ini merangkumi antara Yahudi, Turkis, Arab, Gilani, Uzbek, Armenian, dll. Bertembung dengan sejagatisme, Iran cuba menyesuaikan diri antara tradisi dengan kemodenan. Kemudian sejarahnya antara Islam dan Zoroastrian turut mengendong kelelahan zaman. Ini tidak termasuk lagi dikotomi antara Sunni dan Shi´ah, serta pertarungan identiti mereka antara Timur dan Barat, yang masing-masing memantulkan rencamnya yang tersendiri.


Memang rumit. Lihat sajalah bagimana mutakhir ini kekuatan reformisme di Iran beradu dengan kekuasaan fundamentalisme. Jelas, kalangan mullah tampak tidak senang dengan kalangan intelektual yang mahukan lebih keterbukaan. Kritik pada konsep Velayat ul-Faqeh sering saja membuak kontroversi serta emosi. Tradisi pula sering dianggap belakangan, manakala kemodenan cuba ditawarkan sebagai alternatif. Saya fikir, tanpa pergelutan seni ini, takkan mungkin ada idea-idea menarik yang terbit dari Mehdi Bazargan, Ali Shariati, Jalal-e Ahmad, Ahmad Kasrawi, Abdolkarim Soroush, dll.



Gadis Moden Iran yang sering diketemui memakai chador membeli-belah.


Di samping itu, Iran juga tersimpang antara Islam dan Zoroastrian. Pengalaman bangsa ini yang sarat sejarah Zoroastrian-nya sukar untuk dilenyapkan. Sebaleknya, saya sendiri amat tidak selesa dengan sebarang cubaan ke arah menyingkirkan segala yang berbau Zoroastrian dari lubok Farsi ini. Islam, seperti yang diajar Nabi pada kita, hadhir bukan untuk menghapuskan sejarah lepas, tapi untuk membentuk sejarah masa depan. Inilah yang diterjemahkan Islam menerusi “revolusi keruhanian” yang ketara terzahir dari pengislaman hajj. Maknanya, ilmu akan terus lestari, ibarat selestarinya kuil api di Pasargadae.

Buat saya, itulah makna terbaik dari Islam: meleburkan segala sempadan fizikal.
Sebab itu, Islam di dataran Fars ini amat berlainan. Islam di sini memuatkan kebitaraan berbanding negara-negara muslim yang lain. Iran adalah tanah Shi´ah—wilayah yang tegas mendukung keluarga Nabi. Ini jelas terpapar sewaktu ketibaan Muharram, bagaimana mereka memerahkan tanah buat keluarga adiulung ini. Tapi, sayang lagi, kekeliruan ada di mana-mana. Khalayak Iran, meskipun mereka mempunyai Ruhollah, tetapi tetap saja keliru. Sama seperti sebahagian kita, yang menganggap kononnya chador adalah pakaian Shi’ah. Tapi hakikatnya itu adalah budaya abadi mereka semenjak Sassania lagi. Sebab itu, Islam yang meriah harusnya difahami dengan qalb, bukannya dengan ta’asub dan jahil!



Duit Iran Riyal atau Toman.
Nilai Rials 50,000 - RM18.00


Kemudian, tatkala Barat bertandang di ranah Elburz ini, terutamanya bermula dari Revolusi Perlembagaan 1905, Nyah-revolusi Mossadeq 1953, dan Revolusi Islam Iran 1979, lalu Iran menjadi sorotan perdana atas pertarungan kental antara Timur dan Barat. Dalam faham kolonialisme, Barat datang dengan agenda. Anglo-Iranian Oil Company, pada Shahanshah, harus diserahkan pada perusahaan Barat.

Tapi, kehendak rakyat berbeza–mahu dimilik-negarakan, bukannya dicekik oleh penjajah! 1979, akhirnya Barat kecundang jua atas nama revolusi. Meskipun Iran itu sendiri bukanlah sepenuhnya boleh dianggap bangsa Asia–lebih-lebih lagi mereka berselisih pula dengan Irish–itu semua tidaklah menjamin simpati Iran buat Barat.


Itulah tegarnya Iran yang kita kenal dewasa ini. Sebuah permaidani buat ruang, bukan buat waktu. Negara yang dianggap Donna, ibu Terence Ward itu, sebagai telah melampaui segala kewujudan agama-agama. Mereka akhirnya menemui mojezeh menerusi kembara mustahilnya dalam mencari kembali keluarga Hassan–keluarga gajian mereka yang telah lama terputus berita. Larut dalam sejarah panjang pergunungan Zargos ini, perasaan Donna tersusun dalam ungkapan: jika ditanya apa agamaku, akan kujawab agama Hafez.

Pujangga besar kesayangan bangsa Arya ini telah pun lama pergi. Tapi, suaranya sentiasa berpuisi dalam sanubari hati-hati mereka yang cintakan “kerumitan yang tersembunyi.”



Ramona Rina, model Iran dari Worldwide Wednesday: The 9 Hottest Iranian Women.

Kini, tanah di mana terletaknya Persepolis, bukti awal tamadun dunia, sedang bersiap meraikan 30 tahun revolusi Islam mereka. Di sana, 11 Februari setiap tahun, di Medan Azadi, akan dikenang sebagai hari hebat buat sejarah moden mereka. Di sini, saya juga tidak ketinggalan merayakannya. Tapi–dengan segala ceruk pengetahuan Iran yang dikenal hari ini–maka sambutan kali ini akan saya raikan dengan sebuah pertanyaan lengai, ¨apakah mungkin Tuhan telah tersalah menurunkan Revolusi Islam Iran 1979?¨

Gambar/ilustrasi sekadar hiasan.
Photo/illustration for display purposes.



Aqil Fithri, adalah aktivis media alternatif, merangkap editor ummahonline.com, sebuah majalah internet yang menganjurkan wacana jamak perspektif. Beliau boleh dihubungi menerusiaqil@ummahonline.com.

Jan 30th, 2009




Sunday, November 8, 2009

Jiran sepakat membawa berkat

PROGRAM PONDOK KAWALAN KESELAMATAN


Jamuan Hari Raya Aidilfitri

Gombak: Majlis jamuan hari raya yang dianjurkan oleh Kesatuan Penduduk Taman yang berlangsung di Ponduk Kawalan Keselamatan cukup meriah.

Majlis bermula selepas waktu maghrib dihadiri segenap lapisan masyarakat. Kira-kira 700 orang hadir. Kemeriahan terasa dengan diselangi lagu-lagu raya yang berkumandang.


Turut hadir sama Adun Gombak, YB Dato Hassan Ali, Pengerusi Surau Al-Husna, Datuk Haji Kamal Muhamad dan Sarjan Bahrum serta rakan-rakan dari Balai Polis Gombak. Penduduk Taman Selasih ramai yang hadir tidak melepaskan peluang beramah-mesra dan bertegur-sapa.

“Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat”, kata Abang Nan mengalu-alukan kedatangan penduduk.

Dewasa ini kita menghadapi banyak masalah sosial, dari masaalah anak-anak, jiran tetangga dan seterusnya kes ragut, rompak, samun, pecah rumah dan sebagainya. Cara terbaik mengatasinya ialah dengan tolong-menolong. Kita bersatu semua bangsa menyelesaikannya. Dan berkerjasama mengawal taman dari dicerobohi. Jiran sepakat membawa berkat, nasihat Adun Gombak, YB Hassan Ali ketika dijemput memberi ucapan kepada penduduk.

"Kita buat pagar besi tinggi kat belakang nak mengelakkan pencuri masuk tapi kita tak ingat kalau berlaku kebakaran... macam mana nak selamatkan diri dari musibah...",
Yb Hasan Ali, Adun Gombak

"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat... Pondok ini
diwujudkan untuk program kemasyarakatan...”,
Abang Nan

"Ini langkah terbaik yang dilakukan oleh penduduk secara sukarela, saya berharap semakin ramai menyertai demi kebaikan bersama...", Dato Haji Kamal Mohamad, Pengerusi Surau Al Husna

Kes pecah rumah menurun mendadak sejak diwujudkkan Pondok Keselamatan.
Saya berharap taman-taman perumahan lain mengikut jejak taman ini...",
Sarjan Baharum,
Balai Polis Gombak


" Dah 25 tahun saya tinggal
di taman ini, rukun tetangga tak boleh jalan, kali ini volunteer rukun tetangga baru jalan dan bergerak... Ini menceriakan taman kita...",
Pak Ungku Samad

"Alhamdullilah, kemaufakatan semakin menerlah, kita berdoa semoga ia berpanjangan...",
Ustaz Kamaruddin

Foto: Zul Utusan Malaysia

Tuesday, November 3, 2009

BELASUNGKAWA buat sepupu


Semasa saya menulis ini, perasaan masih sebak. Saya terkenang kepada sepupu yang meninggal dunia akibat leukemia. Senyumnya yang bersahaja memberi kenangan manis. Dia tidak banyak bercakap dan sentiasa mengawal tingkah laku. Lawaknya bersahaja dan banyak waktu menguncikan diri dlam bilik. Itu memberi nostalgia kepada aku. Selain itu saya pernah tinggal di rumahnya di Mentakab. Arwah ayahnya adalah abang kepada ibu yang suka berborak berbentuk motavasi.

Dalam masa setahun lebih penyakit senyap ini menyerang. Mulanya Nurzaleha binti Sheikh Abdul Kadir ini cuma pening kepala. Peningnya semakin menjadi-jadi sehinggakan membawa pitam. Kemudian bila makan sesuatu dia meloya dan muntah. Beliau di bawa membuat rawatan di hospital Mentakab, kemudian di hospital Temerloh, seterusnya di Kuantan tetapi tiada apa-apa tanda. Ttidak dapat diagnosis. Penyakitnya semakin teruk dan terus mendapat rawatan di HUKM, Kuala Lumpur.

Semasa saya melawatnya di HUKM, beliau di teman suaminya Anuar dan dua anak lelakinya yang sudah berkerja sabar menemaninya di samping. Ketika itu matanya sudah kabur akibat rawatan chemotherapy tetapi mesra menyambut saya sekeluarga. Rawatan ini teruk sekali katanya. Seluruh badan kena cucuk jarum dan dia tidak tahan lagi. Kakinya kejang dan sukar digerakkan. Suami dan anak-anaknya kuat memberi semangat.

Selepas hari raya baru-baru ini saya melawatnya lagi. Kali ini rambutnya semakin jarang. Badannya yang lesu dan tidak berdaya untuk bergerak. "Siapa datang?', tanyanya. Matanya sudah kabur tapi memampakkan riak keseronokan. Entahlah sampai bila kawan di sini, doktor tidak memberi jaminan katanya... Anuar dan anak-anak yang taat kepada ibu bapa ada di sisi kata saya memberi jaminan. Haji Anuar, suaminya yang bertugas di Telekom cukup tabah menghadapi musibah yang menimpa. 'Berserah kepada Allah, itu ketentuanNya, menenangkan perasaan hibanya.

Semasa ditemuai, sepupu menasihatkan anak-anak saya tentang ketaatan kepada ibubapa. Itulah cara membalas jasa ibubapa, katanya. Ini terpancar melalui kedua orang anaknya yang sentiasa taat menemaninya. Anak sulungnya yang bertugas di Senawang selepas menamatkan ijazahnya di UKM sanggup menunggang motor bluesnya datang ke HUKM. Begitu juga dengan anak lelaki keduanya yang masih belajar di UKM.

Saya terkenang semasa zaman persekolahan. Beliau belajar di Sekolah Mentakab manakala aku belajar di sekolah Menengah di Temerloh. Dia berkenalan dengan suaminya sejak di bangku sekolah lagi dan menjadi bualan kawan-kawan. Aku sebagai sepupu sentiasa mengikuti perkembangannya. Nyatalah pemilihanannya tepat. Si suami yang mengerjakan haji semasa muda sangat mencintainya hingga akhir hayat. Anuar sanggup menemaninya dan tidur berkerusi kayu di hospital. Tidur dan makan tidak teratur dan waktu subuh pulang ke Mentakab untuk bekerja dan melihat anak-anaknya yang masih bersekolah seramai 5 orang. Dan pabila malam, dia datang kembali ke HUKM. Semangat sepupu aku sangat kental begitu juga suaminya.

Apalah daya kita hanya sekadar berusaha. Ketentuan di tanganNya. Kini kita semakin hilang orang-orang yang disayangi. Bulan Oktober lepas ibu saya meninggal dunia... Ayat Suci Buat Umi (http://pekenatehsecawan.blogspot.com/2009/10/ayat-suci-buat-umi.html)
Sebelum itu suami sepupu kepada isteri saya meninggal dunia akibat stoke. Begulah kehidupan seperti rambut di kepala semakin hari semakin jarang dan semakin memutih...

Alfatihah untuk kesemuanya.



Do’a untuk mu

‘Allah tiada membenani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Baginya (pahala) apa yang dia kerjakan dan dia mendapat (siksa dari kejahatan) yang dia kerjakan. (mereka memohon) ‘Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menyiksa kami jika kami lupa atau kami bersalah. Wahai Tuhan kami, jangan Engkau pikulkan kepada kami beban yang berat sebagaimana telah Engkau pikulkan kepada orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami, Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum kafir’

(Surat Al Baqarah, surat 2 – 286)