ads

Monday, June 15, 2009

Nostalgia ku...


Perasaan sayu tidak dapat disembunyikan bila melintasi Kampung KT dan mengimbau kenangan di alam kanak-kanak. Apa tidaknya, di sinilah tempat aku bermain, mandi sungai, bersekolah agama, melastik sarang tebuan dan sebagainya. Kini kampungku, KT telah hilang dan diliputi belukar tebal. Hanya kedengaran engin kenderaan keluar masuk melalui kampung ini.

Kampung di tepi Sungai Pahang ini telah lama ditinggalkan. Penduduknya telah berpindah ke serata tempat mencari penghidupan. Alangkah angkuhnya penghidupan!, kampung yang menyimpan seribu kenangan ditinggalkan bersarang anai-anai...



Kisah Pak Lang Cha

Pak Saudara ku telah berpindah ke kampung berdekatan dan beralih kerjaya. dari Penoreh Getah tegar ke IKS. Pasangan suami isteri ini menjadi Pengusaha IKS separa berjaya!.

Syarikat IKS, SKT menyediakan dwi-makanan pagi dan petang yang cukup menyelerakan, disediakan secara segera untuk generasi kini yang sentiasa sibuk. Cuma panaskan di oven atau di kuali. Siap untuk dihidangkan. Idea ini diperolehi dari bengkel ke seminar yang telah dihadiri oleh kedua pasangan veteran ini.

Walaupun tinggal di kampung kira-kira 25 km dari T, tidak mematahkan semangat kental untuk bergiat dalam industri pemakanan. "Meninggalkan perkerjaan tradisonal untuk menyambut seruan 'Glokal' Pak Najib, kata mereka selamba sambil tergelak.

Seminar demi seminar, kursus demi kursus yang dianjurkan oleh FAMA, MARA, MARDI, Jabatan Pertanian dan seangkatan dengannya membuka mata memandang jauh ke hadapan. Sedang orang kampung masih tergolong kepada pendapatan pertanian dan kerja kampung, pasangan ini membuat 'turning point' menyambut seruan Pak Najib!... Go Glokal!.

Kini kilang perusahan pemakanannya sudah agak berjaya. Mereka membekalkan produk ke kedai-kedai dan pasaraya di J dan T. Permintaan semakin bertambah dan memerlukan ramai pekerja. Tenaga pekerja seramai 3 orang tidak mencukupi. Tenaga kepakaran untuk menebar roti canai masih kurang begitu juga pembuat muffins dan donat kata Mak Lang Limah merungut. Terkadang mereka mendapat tawaran membuat kuih-muih sempena majlis kenduri atau majlis kahwin.

Mak Lang Limah yang jadi pengemudi SSKT sudah berisi badannya. Semasa saya melawatinya 3 tahun lepas, dia kurus cengkong. Mungkin beban kerja dan kekurangan dana peringkat memulakan operasi. Sekarang Mak Lang dah tembam dan kaca-mata semakin membontot. Menjadi mandur saja, meninjau mana yang kurang katanya menerangkan duduknya perkara.

Suaminya, Pak Lang Ca (lewat 60an usianya), bapak saudara saya yang pendiam menuruti semangat kental dan kemahuan isterinya yang nak berIKS itu. Pasangan yang tidak mempunyai zuriat ini tinggal bahagia di cerok kampung yang dipisahkan oleh CSMT (pembinaan jalan air secara tradisonal yang diusahakan oleh arwah ayahnya tahun 60an dipanggil carok untuk mengerakkan air masuk ke tanahnya secara terurus berdekatan Kampung PR (Kenapa Kg. PR?. Kisah Kampung Paya Raja akan disiarkan keluaran akan datang).

"Kenapa nama SSKT tempat kebanyakkan orang keturunan Syed tinggal tak SCMT?, sekurang-kurang mengingati arwah datuk kita yang tabah berusaha membangunkan kampung ini?". "Kan Pak Lang tinggal lama di KKT... sebelum berpindah ke sini", kata bapak saudara saya mempersoalkan. Nama carok tu kurang enak disebut, kata saya memberi soalan tertangguh.


Nostalgia semasa kanak-kanak

Saya pernah tinggal bersamanya selama lebih setahun semasa darjah 5 bersekolah rendah. Inilah faktor menjadi kekuatan untuk merakamkan kisah usahawan ini.

Saya tak sanggup tinggal lama bersama pasangan ini kerana kesunyian melampau. Dan membuat keputusan berpindah ke rumah nenek saya TOK WAH di Kampung Guling Tajau. Pasangan yang pendiam dan kurang aktiviti riadah. Cuma radio (drama Fajar di Bumi Permatalah menjadi hidangan halwa telinga sekeluarga di waktu malam) dan piring hitam yang sering mendendangkan lagu D. J. Dave... dunia pancaroba, suka bertemasya oo o oi... , Uji Rashid ...ku ingin selalu disampingmu dan ..pipi pauh dilayang, alis matanya lentik.. nyanyian Hail Amir.

Untuk menonton TV malam minggu saya terpaksa pergi ke rumah Cikgu Seman (bapak saudara bau bacam) kini allahyarham kira-kira 2 km. Balik menonton TV, pulang sekitar jam 12 malam terpaksa melalui rumah tradisonal peninggalan bekas Tok Penghulu (To Aki Bakar, pak saudara juga yang minat pada bunga-bungaan dan pengumpul batu-batu sungai yang aktif) yang dikatakan berpenghuni. Ini cukup menaikkan bulu tengkok seperti dalam siri 'Seram Kelibon' dalam filem di TV3.


Bila cuti penggal persekolahan, anak menantunya balik ke rumah besar ini. Cucunya bernama Nasa (cikgu mengajar di Mentakab), rapat dengan saya (minat EPL, segala bintang bolasepak dia ingat namanya, tetapi kaki bangku). Setiap petang kami bermain Carrom. Maka berkumpulah kenkawan kampung. Perkara yang mencuit hati, ada seorang kawan bernama Syed Borhanuddin yang cepat panas baran bila kalah. Satu hari dia mencabar saya bertumbuk dekat belakang rumah bapak saudara saya konon menunjukkan kejantanannya. "Anta tunggu dekat situ kalau berani, ana datang", katanya marah padam akibat kalah pertandingan carrom. Petang itu tanpa banyak cerita saya datang tetapi batang hidungnya pun tak nampak. (Saya jadi berani kerana bapak saudara bongsu (Allahyakham) mengajar ilmu Silat Rimau dengan mengikat kain menutup mata hanya bersedia mengelak dan membaham bila mendengar bunyi dari pelbagai arah menerpa).

Lagi pun tinggal di dalam kebun getah di Kuala Tekal begitu membinggungkan. Bunyi kerbau memakan rumput, bunyi cengkerik, burung murai, saling berbalas balun. Apabila waktu malam burung tukang (tung... tung... bunyinya, mengikut hikayat burung ini disumpah Nabi Sulaiman kerana tidak pernah menyiapkan kerja yang diamanahkan secara sempurna, burung ini akan berbunyi mengikut rentak yang sama berpanjangan) dan burung hantu pula berdengung.


Mandi bogel di Sungai bersama kawan-kawan sekampung.

Balik dari sekolah, saya menolongnya memesin getah untuk membuat getah keping. Waktu petang selain pergi sekolah berkokorikulum saya mandi di sungai Pahang bersama kenkawan. Selain mandi kami mencari etok (macam kupang) di tengah sungai bila pasir timbul pada musim panas bersama Syed Hamzah (Asp. polis di Terangganu) dan Syed Harun (Allahrakham). Kami juga mencari kijing (warna gelap macam kupang sebesar tapak tangan) di tanah berlumpur di dalam sungai. Dan terkadang meringankan tangan mencari pucuk paku hijau, rebung, pucuk kayu manis atau memancing (jarang dapat ikan, apa saya buat? menghayunkan joran ke sungai - panas hati).

Balik dari sekolah pagi, saya ke sekolah agama pada sebelah petangnya. Seorang ustazah comel berhidung mancung (anak Mualim Syed Seman Arab) lihat cerita Ayat-ayat cinta mengatakan, saya akan menunaikan fardu haji pada usia muda. Ada petanda. Di dahi saya ada tahi lalat besar katanya...

Selain belajar mengaji pada sebelah malam kami kenkawan (dialag Pahang bermakna kawan-kawan) pergi ke masjid. Apa yang kami buat?. Mencelok rokok jemaah yang diletakkan ditepi dinding dan menghabiskan di rumah kosong sambil membaling sarang tebuan!.

Itulah rutin kami. Rupanya kekurangan intraksi membuatkan manusia bosan dan letih minda walaupun hidup sedarhana sedang. Ketika itu umur saya 11 tahun. Kes serupa berlaku kepada bekas model muda berusia 17 tahun Indonesia, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, Manohara Odelia Pinot agaknya...

Kehidupan remaja ditarik membuatkan Mohohara melarikan diri agaknya...
Kemewahan tertolak ke tepi...
http://www.rahsiaperkahwinan.com/2009/06/manohara-odelia-pinot.html

Bernostalgia, kami sekeluarga pergi menonton filem Bobby di Temerloh pada suatu malam. Kebetulan bapak saudara saya ni masih dalam bulan madu. Bila adegen Raj Kapoor berpelukan dengan Dimple Kapadia di atas katli di sebuah banglo...homtoom o bika iho o ja... naluri malu teserlah. Apa yang aku buat? menundukkan kepala ke lantai sedang bapak saudara berpelukan tanpa sepatah ayat... Balik dari Temerloh kami menaiki teksi yang sedang mendendangkan lagu Dahlan Zainuddin... Kisah seorang Biduan... Aku tidak dapat menterjemahkan naluri ketika itu. Aku tekad ingin menjadi penghibur!. Kalau tidak menjadi Pelakon aku menjadi Penulis...


6 comments:

The Hobbit Frodo said...

salam encik ... naper x letak widget follower? sng readers/ follower nak tau if ur blog is update / not. Best blog neh ~ xoxoxooxoxo

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Kes Syed 1

"Saya berhenti sekolah kerana bercanggah pendapat dengan cikgu". Ada ke patut dia kata saya suka makan ikan kering, ikan masin, ikan jeruk tak suka makan ikan sungai. Ikan sungai banyak protin, bagus untuk minda. Nasihat cigku kepada saya dan kawan-kawan. Saya tidak bersetuju dan marah kepada cigku yang baru pindah mengajar ke sekolah menengah ini. Kalau dah selalu makan ikan sungai, naik jemu, naik muak, bentak Syed Mohammad kepada cikgu muda itu. Banyak perkara bertentangan bila bersemuka dengan cikgu muda ini. Saya memancing dan dapat ikan lalu menjual ikan sungai untuk membeli ikan masin dan sebagainya untuk keperluan keluarga.

Cikgu itu mengasak saya mengatakan orang kampung mendak minda, tak tahu berkesihatan. Saya marah sungguh dengan cikgu berkenaan. Cikgu itu juga berkata orang kampung kami bodoh dungu. Apa saya buat? Berhenti sekolah! Itu keputusan terbaik daripada bercanggah pendapat!, terang Syed Mohammad suatu ketika dulu semasa bertemunya di kampung Kuala Tekal. Kini Syed Mohammad mengikut keturunannya kerja kampung.


Kes Syed 11

Semasa bersekolah rendah sekitar tahun 70an dulu di Kampung Kuala Tekal ada satu kes. Guru besar (nama dirahsiakan) sering marah-marah dengan kerenah dan perangai murid-muridnya ketika mengajar pelajaran sivik. Apa dia kata, "Harapkan keturunan Syed, syed pada baju saja (baju selepas digosok, kemas dan licin). Kamu ini Syed atas langit, syed tak ada makna...", kata guru besar itu mencemuh perangai murid-murid keturunan syed. Ini kerana murid-murid keturunan syed tidak serius belajar sering tidak buat kerja sekolah dan buku sering tertinggal di rumah. Selalunya murid-murid keturunan syed menjadi habuan, sumpah herdik...


Kes Syed 111

"Ana tak kan sekali-kali menantukan orang kebanyakkan, pantang keturuan ana", kata Syed Jaafar kepada Mak Engku Sharifah Raudah ketika bersembang di tangga rumah nenek itu. Perbualan itu merangkap pendengaran kerana kebetulan aku kawan rapat kepada cucu Mak Engku Sharifah Raudah dan berada di situ.

Kita keturuan baik-baik, keturunan nabi-nabi. Mana boleh kahwin dengan orang kebanyakan, tak ada darjat, kata Syed Jaafar menentang keras ura-ura anaknya hendak berkahwin dengan orang tak 'berSyed'. Mak Engku mengambil sikap bersahaja tak menyokong tak menantang.

Rosak keturunan, nanti tak berbaka kita, orang akan mengetawakan kita, kata Syed Jaafar tidak setuju.

"Ana keturunan Syadina Adam", kata saya mencelah. Keduanya terkejut dan membeliakkan mata. Kenapa? "Kita semua dari keturuan Nabi Adam, dari satu bapak dan dari satu ibu.... kenapa Ayah Engku masih bertanya-jawab?, kata saya selamba. Ustaz kata kita semua sama tetapi yang membezakan kita ialah darjat kita di sisiNya. Amalan murni seorang hamba kepada khalidnya saja, kata saya berani. Masing-masing terdiam dan terbelangu...

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Kes Syed 1111

Ada seorang keturunan syed yang suka memburu. Dia sangat cekap dengan kerjayanya dan dipanggil 'top-gun'. Dia tahu musuhnya akan keluar ketika hujan panas. Dia bersama anak saudara akan keluar dengan membawa senapang patah. Dua atau tiga jam kemudian dia sudah keluar dari hutan dengan memikul babi hutan liar yang sudah terkulai. Dan babi liar hasil buruan itu dijual kepada peraih Cina yang sudah menunggu.

Ana tak makan hasil buruan itu, ianya haram hanya ana beli pakaian dan sebagainya saja. Bila ada waris mempertikaikan kerjanya itu. Syed itu menafikan sekeras-keras tindakannya itu haram. Memburu babi untuk menghapuskan binatang perosak tanaman, salah ke? tanyanya. Maka orang kampung redalah dan melihat saja perbuatannya itu. Nak mempertikaikan, kerana kita 'siapa' dan 'syed' ini siapa?. Dia banyak tahu dari orang kebanyakan yang tak ber'syed' ini. Lagi pun syed ini dari menantu yang ada nama di kampung itu.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Kes Syed 11111

Zaman 70an atau 80an, kalau kita bersekitaran di Kuala Tekal (kini dah lekang kerana genarasi itu kerana sudah berpindah-randah dan meninggal dunia), kita akan mendengar perbualan antara golongan Syed dan orang kebanyakkan. Orang keturunan Syed ini membahasakan dirinya 'Ana' bermakna saya atau aku. Orang kebanyakkan pula akan membahasakan dirinya 'Nengku' sebagai menghormati keturunan ini. Kebanyakkannya terdiri dari golongan wanita yang akan membahasakan dirinya 'Nengku'. Makin bertambah rancaklah perbualan kerana merasai dirinya dihormati.

Sekarang saya tidak berani berkata masih ada lagi atau sebaliknya keadah membahasakan diri sebegini. Di tempat lain saya tidaklah mengetahui.

Saya pernah menguji golongan tua orang 'Syed' ini. Selalunya bila bertembung dijalanan kita akan bertegur-sapa dan menampakkan keramahan. Ini berlaku sekitar 70an dengan Syed Ali (Ayah Engku atau Mak Engku, panggilan untuk golongan Syed atau Syarifah sebagai membahasakan diri menggantikan panggilan Pak Cik atau Mak Cik).

Saya ingin menguji sejauh mana benarnya dengan selamba bertanya, "Hendak ke mana Pak Cik Ali? Dia agak terkejut dan menoleh hairan langsung tidak menjawab hanya terdengar perkataan 'm' saja. Fahamlah saya rupanya darjat keturunan lebih diutamanakan dalam kebanyakan hal walaupun rameh-temeh. Setahu saya Syed Ali mengetahui saya adalah dari keturunan Syeikh dari rumpun yang sama... Pada saya ini tidak memberi apa-apa makna di sisiNya!.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Syed Bakar - Si Magican yang kreatif

Teringat semasa bersekolah Kebangsaan Kuala Tekal dahulu. Bila tiba cuti penggal, PIBG sekolah sudah merangka plan. Mereka sering memanggil Syed Bakar Magican (kini Allahyakham) untuk membuat persembahan selain persembahan dari belia-belia kampung. 'Syed Bakar Silap Mata', panggilan orang kampung, sering membuat persembahan kerana mempunyai perhubungan saudara-mara di Kampung ini.

Dia memulakan silap mata dengan jeritan 'Ya dooon.... Ya dooooonnnnn.....' dan keluarlah burung merpati dari celah baju.... arnab dan seterusnya air susu dicampakkan ke penonton, mata picau cukur keluar dari mulut bertali-arus... lalu penonton menjerit!. Ya ke ni?

Apabila saya tamat perekolahan, lalu berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal di Ampang Tasik. Dan ketemu lagi dengan susuk magican ini dan tinggal di taman yang sama. Rupanya Syed Bakar adalah saudara dan puak gerabak juga. Dari isterinya terbuka rahsia... apabila selesai satu-satu persembahan, isterinya sibuk mengubat luka di mulut suaminya akibat kena mata pisau semasa persembahan. Begitu juga dengan lubang hidung akibat paku 6 inci dimasukkan semasa kemuncak persembahan. Dan segala jenis pakaian akibat tahi burung merpati dan arnab. Jenuh membasuh, keluh isterinya...

Bapak saudara bau bacam ini bukan calang-calang orang. Beliau belajar ilmu silap mata di Singapura dan merupakan satu-satunya keturunan syed yang arif dalam bidang ini dewasa itu. Tiada orang boleh lawan. Beliau juga terkenal sebagai pelakon dalam beberapa buah filem Melayu.

Beliau semasa hayatnya ada membuat lawak dan memberitahu sepupu saya jika ada orang datang meminang anak daranya, beliau tak memilih bulu. Tidak mengira sama ada keturunan Syed, Syeikh atau orang kebanyakkan, terima saja asalkan anaknya setuju atau berkenan. Tetapi satu permintaan katanya. "Menantu ana mesti pandai main silap mata, sekurang-kurangnya satu atau dua silap mata yang simple atau mudah-mudah....".

miedah29 said...

Manusia dijadikan Allah SWT sebagai makhluk sosial yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Untuk memenuhi keperluan dalam kehidupan ini, manusia harus berbuat baik sesama umat tanpa darjatnya untuk mendapatkan kurnian Allah.