ads

Thursday, July 17, 2008

Disangka penyangak Maori



Ibarat menang RM100.000 dalam siri rancangan TV7 'Deal or No Deal', syarikat tempat Seman bekerja menaja seramai 6 orang berkursus selama 5 minggu ke New Zealand. Dari KLIA mereka mendarat ke Lapangan Terbang Changi dan bertukar penerbangan Air New Zealand ke Auckland yang memakan masa lebih 8 jam. Mereka seramai 6 orang di hantar oleh syarikat penerbitan terbesar di negara ini ke Wanganui Polytechnic School of Design yang bertempat di Wanganui khusus untuk mendalami ilmu rekabentuk grafik.



Kesan gempa buni sekitar 2010



 Bumper jumping terkenal di NZ

 Pemandangan cantik


Bandar raya Auckland

Mereka berenam tiba jam 10 pagi (waktu New Zealand) di Lapangan Terbang Auckland. Kemudiannya mereka akan mengambil pesawat domestik ke Wanganui. Malangnya Seman tidak dapat bersama rakan-rakannya berlepas ke Wanganui pada hari tersebut kerana menurut kakitangan syarikatnya yang menempah tiket pesawat domestik dari Auckland ke Wanganui cuma ada kekosongan 5 tempat sahaja. Ini bermakna Seman terpaksa menginap di Auckland semalaman dan ke Wanganui keesokan harinya.

Memandangkan inilah kali pertama Seman ke luar negara dan ditambah pula dengan skill berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan Seman agak gelabah. "Menyesal aku, mengapa aku kurang berminat belajar bahasa Inggeris dulu?, tanya sendiri. Dalam fikirannya, bagaimana mencari hotel menginap, di mana hendak mencari makanan halal, tambah pula keseorangan boleh jadi bingong dan mati kutu babi dibuatnya.

Setelah rakan-rakannya menaiki pesawat ke Wanganui, Seman terfikir untuk mengambil teksi sahaja ke sana. Tidak sanggup rasanya menunggu seharian di Auckland seorang diri. Di luar lapangan terbang, kelihatan pemandu-pemandu teksi mencari dan menunggu penumpang, lantas Seman menghampiri sebuah teksi yang dimiliki seorang lelaki berbangsa India dan meminta supaya pemandu teksi itu menghantarnya ke Wanganui. Jarak dari Auckland ke Wanganui adalah sekitar 454 km dan mengambil masa sekitar 6 jam memandu. Tambang yang dikenakan pula agak tinggi iaitu sekitar NZ$1000 (RM2600 ketika itu).


Memandangkan jarak yang jauh dan Seman pula baru pertama kali menjejak kaki ke bumi Kiwi ini, pemandu teksi itu mencadangkan agar dia menaiki keretapi sahaja. Di samping kos yang murah sekitar NZ$80 dapat juga dia melihat keindahan New Zealand. Seman setuju dengan cadangan itu dan pada fikirannya lebih baik menggunakan kesempatan itu daripada menunggu keseorangan di Auckland. Setiba di stesen keretapi, pemandu teksi itu menguruskan pembelian tiket sambil menanyakan lokasi stesen keretapi terdekat dengan Wanganui. Setelah diteliti didalam peta, stesen di Marton merupakan stesen terdekat dengan Wanganui.

Sambil menunggu keretapi yang akan bertolak sekitar pukul 6 petang, Seman mengambil keputusan untuk merayau-rayau sekitar bandar Auckland. Suasana tenang serta penduduk Auckland yang murah senyuman dan gemar bertegur-sapa membuatkan Seman merasa selamat. Difahamkan, kejadian jenayah di sini pada paras rendah atau terkawal. Banyak cerok dalam kota itu dikunjungi. Seman menggeladi dari ke kedai gunting ke kedai roti dan ke kedai kraf tangan.

Pengangkutan awam, teksi, bas persiaran, bas mini, kereta sewa banyak kelihatan dan mudah didapati dan serta cepat. Kota yang besar dan moden ini menarik perhatian Seman. Seharian Seman bersendirian berkelana di kota batu ini. Agak ganjil baginya, bagai lembu lepas dari kandang. Seman keluar masuk dari sebuah kedai ke sebuah kedai dan singgah di kedai pakaian untuk membeli sehelai baju tebal kerana tidak tahan dengan kesejukan yang melampau ditambah pula dia dalam keadaan sehelai sepinggang kerana segala beg pakaian telah dibawa oleh rakan-rakannya.

Auckland merangkumi empat bandar iaitu Auckland, Manukau, North Shore dan Waitakere; serta tiga wilayah - Franklin, Rodney dan Papakura. Suhu maksimum 23.7 darjah Calsius bulan Febuari, 14.5 bulan Julai, manakala minimum 2.5. Terdapat kira-kira 36 bangsa yang menjadiwarganegara New Zealand. Kira-kira 50 000 orang Islam terdapat di sini. Di anggarkan lebih kurang 41 juta orang penduduknya.



Art



Sebuah negara yang terkenal dengan keindahan dan kecantikan alam ciptaanNya; gunung-ganang glasier, sungai dan tasik. Kawasan pergunungan bersalji, bukit-bukau, jeram, lurah dan lembah, sungai, gua, lombong emas, kota bersejarah, kota budaya, ladang buah-buahan, ladang ternakan serta taman bunga. Anda juga boleh mencuba berkayak, berski, lompat bungy, mengembala biri-biri atau bersantai di dek kapal pelayaran. Bagi para pelancong setiap ringgit dibelanjakan tidak merugikan.

Sekitar 6 petang maka bermulalah episod perjalanan Seman dengan menaiki keretapi menuju ke Wanganui. Sambil berdoa agar perjalanan ini tidak membawa sebarang musibah dan mengharapkan dapat melihat keindahan tempat orang. Dalam keretapi Seman berkenalan dengan seorang pemuda Jepun yang pergi ke Paraparaumu di selatan dari Wanganui. Mereka berkenalan dan bersembang. Pemuda Jepun yang sedikit kecewa kerana baru berpisah dengan kekasihnya meluahkan rasa sedihnya kepada Seman. Perbualan mereka diselangseli dengan bahasa tangan dan Inggeris broken, yang penting faham maksud, lawak Seman menceritakan kerenah mereka. Setelah terasa mengantuk, masing-masing mencari kerusi kosong untuk melelapkan mata dalam keretapi itu. Sekitar 4 pagi, Seman dikejutkan oleh pemeriksa tiket yang mengatakan dia telah sampai distinasi yang dituju.

Sebaik sahaja turun di stesen Marton, Seman agak terkejut, kerana tidak menyangka bahawa stesen itu hanyalah sebuah stesen yang kecil. Sangkanya stesen itu seperti stesen keretapi di Gemas, semuanya meleset. Hanya stesen kecil, lampu bertutup, tiada tandas malah seorang manusia pun tidak kelihatan. Dalam suasana yang gelap di tambah cuaca sejuk yang menyucuk hingga ke tulang sum-sum, Seman mula terasa menyesal kerana mengambil tindakan menaiki keretapi. Fikirnya, kalau dia menginap di hotel dan menunggu pesawat keesokan hari tentu tidurnya lena berselimut tebal beralas tilam yang empuk.

Tidaklah seperti sekarang ini yang terpaksa menahan kesejukan, mujur juga sebelum menaiki keretapi di Auckland dia telah membeli sehelai baju tebal kalau tidak tentu terpaksa menahan kesejukan yang teramat sangat. Sambil menunggu matahari terbit Seman mencari ruang untujk melelapkan mata. Yang ada hanya kerusi papan. Memadailah, janji dapat melelapkan mata fikir Seman. Memandangkan persekitaran yang sejuk, Seman terpaksa tidur dalam keadaan meniarap, ternyata bajunya itu tidak dapat menampung kesejukan cuaca di Marton. Usahkan kesejukan di New Zealand, kesejukan di Genting Highland pun kita tidak tertahan!.

Sekitar jam 5 pagi keadaan sudah cerah dan persekitaran cukup mengagumkan Seman. Dia menunaikan solat subuh dan mengambil wuduk dengan air mineral yang dibelinya di Auckland secara ala kadar, solat duduk sahaja, yang penting solat nasihatnya. Setelah hari mulai cerah, Seman pun melangkah kaki mencari jalan ke Wanganui. Sampai di persimpangan jalan dia terlihat kelibat seorang lelaki berbangsa Inggeris sedang memproses susu lembu. Seman memberanikan diri untuk bertanya arah tuju ke Wanganui dan lelaki berkenaan menyuruh dia menunggu bas di dalam taman perumahan sekitar stesen keretapi tadi.

Seman terpaksa berpatah balik menuju ke kawasan stesen tersebut. Ketika dia menuju ke kawasan tersebut dia ternampak kelibat seorang suri rumah berbangsa Maori sedang membasuh kereta dan dia sekali lagi bertanya arah tuju ke Wanganui dan bagaimana cara dia boleh ke sana, sama ada dengan menaiki teksi ataupun bas. Suri rumah itu menunjukkan tempat yang patut dia menunggu bas iaitu berhampiran sebuah gereja. Seman menuju kawasan itu dan menunggu bas di sana. Setelah 10 minit menunggu kelibat sebuah bas pun tidak kelihatan tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depannya dan mempelawa dia menaiki kereta tersebut. Rupa-rupanya kereta itu milik suri rumah berbangsa Maori yang dijumpainya tadi. Kebetulan suri rumah itu bersama suami dan kakaknya ingin ke pekan berhampiran dan menawarkan diri untuk menghantar Seman ke kawasan pekan Bulls yang lebih mudah mendapatkan bas atau teksi.






Sampai di pekan Bulls, Seman mengucapkan terima kasih kepada pasangan tersebut sambil berjabat salam dengan mereka. Satu perkara yang melucukan, bagi kaum Maori budaya mereka berjabat salam disertakan dengan berlaga hidung sambil bertentangan mata. Agak kekok juga untuk berlaga hidung dan bertentang mata dengan mereka tetapi untuk menghormati budaya Maori, Seman terpaksa mengikut cara itu. Setelah turun dari kenderaan, Seman pun menunggu bas, teksi ataupun apa-apa kenderaan yang boleh ditumpanginya.

Hari semakin cerah dan perut sudah mula berkeroncong, mujur juga ada sisa-sisa kebab yang dibelinya di Auckland semalam. Dengan sisa kebab dan sebotol air mineral cukup buat Seman mengalas perut. Lapar bukan bermain di fikirannya lagi, sampai ke Wanganui lebih penting, terang Seman lagi. Bagaimana?, tanya dirinya. Hampir 20 minit menunggu, sebiji bas pun tidak kelihatan. Dia terpandang papan tanda arah ke Wanganui yang tertera jarak dari Pekan Bulls ke Wanganui sekitar 35 km. Seman mencongak, kalau dia berjalan kaki, 7 jam sampailah di ke Wanganui. Bukanlah jauh sangat, barangkali dari Kuala Lumpur ke Kajang saja fikir Seman. Boleh menikmati pemandangan dan menghayati penghidupan orang di sini, fikir Seman lagi.

Lansung dia berjalan kaki menyusuri ladang dan ladang ternak lembu, biri-biri dan llamas (sejenis haiwan seperti unta). Dia ‘menerjah’ ke negara orang tanpa bantuan sesiapa terkadang menimbulkan rasa bangga di hatinya. Di sekelilingnya kelihatan ladang lembu yang diternak sekali dengan babi sangat luas sajuna mata memandang. "Aku seperti berada dalam taman kerana alamnya yang indah dengan bayu segar, langit biru, hamparan padang rumput, pohon dan rimbunan bunga-bungaan", luah Seman menceritakan pengalamannya.

Setelah penat berjalan dari keseronokan menikmati pemandangan, perasaan bertukar kepada ketakutan. Kegembiraan bertukar kepada kepenatan. Kira-kira 5 km Seman sudah merentasi Wanganui. Dia cuba menahan kenderaan yang lalu lalang tetapi satu pun tidak berhenti dan memberi pertolongan. Seman merasa asing di bumi New Zealand. Dia menguatkan semangat dan terus berjalan dan cuba menukar strategi dari menahan kereta kepada menunjuk-nunjukkan duitnya kepada kereta yang lalu-lalang tetapi tidak berkesan. Aku menjerit, meraung dan merayu kepada kereta yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang ingin membantu, luah Seman lagi. "Mereka tidak berhati perut langsung, kalau aku perempuan mungkin kereta berhenti", ujar Seman menenangkan hati. Rasa gundah gulana, pening, rasa nak pitam dan macam-macam perasaan terang Seman lagi mengenangkan nasibnya di perantauan. Seman mendengar, melihat, membau, berjalan dan berkeringat di bumi asing ini. Lama kelamaan langkahnya semakin pelahan dan kecil.





Seman hanya mampu berdoa. Ada perasaan dan gerak hati apabila kedengaran sebuah kereta di belakangnya. Segala kudratnya terasa bagai kehilangan jika kereta ini tidak berhenti, sambung Seman lagi. Sambil berdoa "Ya Allah berhentikanlah kereta ini, aku sudah tidak mampu untuk terus berjalan, Ya Allah!. Berkali-kali Seman melafazkan doa itu. Akhirnya, kereta Mazda 323 berwarna putih itu yang kebetulan macam kereta lama Seman berhenti. Mat Saleh tua menurunkan cermin dan ingin membantu. Doanya terkabul, sepantas kilat Seman masuk ke kereta itu kerana takut Mat Saleh tua itu mengubah niat.

Mat Saleh itu bernama Mc Gregor, terang Seman lagi. Menurut Mc Gregor tiada seorang pun ingin membantu Seman, barangkali kerana rupanya seperti orang pribumi, berkulit agak gelap dan rambut hitam. Sentimen perkauman dan memandang rendah penduduk asal masih terpahat di New Zealand. Lagipun terang Mat Saleh itu orang Maori iaitu penduduk asal, selalu juga membuat kacau dengan majoriti kaum kulit putih. Selepas September 11, orang memandang negatif pada orang kulit berwarna, terang Mat Saleh itu lagi. Mc Gregor menghantar Seman sehingga ke Wanganui. Rasa bersyukur, doa dimakbulkan kerana tidak banyak ranjau duri dilalui. Seman menberitahu, dia tidak tinggal sembahyang dan sentiasa berzikir menginggatiNya.Terfikir Seman, kerana tidak tinggal sembahyang dan zikir walau apa keadaan memberi pedoman dan menyelamatkannya. "Inilah petua dan rencahnya", Seman menceritakan.

Seman sampai di Wangaui dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Uncle Mc Gregor. Bandar Wanganui agak besar dan Seman agak keliru mencari tempat penginapan rakan-rakanya. Dia terserempak dengan seorang lelaki Maori dan memintanya menunjukkan jalan berhampiran ke motel tempat penginapan rakan-rakannya. Kia Ora bermaksud selamat datang sambil bergesel hidung sebagai tanda salam bagi kaum Maori. Sekali lagi Seman terpaksa berlaga hidung dengan Maori berkulit sawo matang yang montel itu.

Seman terus ke motel dan bertanya penyambut tetamu. Kebetulan di lapangan terbang Changi di Singapura bersama teman-temannya, Seman ternampak risalah tentang motel Appolo tempat penginapan mereka. Nasib baiklah memori aku kuat, kalau tidak Lone Rangerlah aku lagi.

Perasaan gembira bercampur-baur, terang Seman lagi. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana selamat, ucap Seman berkali-kali. Setelah memanggil kelima-lima rakannya turun dan berjumpa dengan Seman yang kepenatan itu, mereka berpelukan dan menggangap Seman seorang hero kampung yang glokal.


Catatan dari Rizalnor@gmail.com

1 comment:

Ahmad Aaziz said...

Syabas Bro.. Satu langkah yang bijak.. Blog yang mantap..banyak gambar2, cerita2 dan design2 yg menarik..ilmu2 yang baik adalah ilmu yang dapat memberi manafaat kepada orang lain..dan ia akan menjadi cahaya penyuluh dan akan melapangkan kubur kita kelak...keep it up.